Monday, December 13, 2010

WujudNya Tidak Bertempat

I'tiqad Ahlus Sunnah wal Jama`ah adalah mensucikan Allah daripada berarah, bertempat dan terikat dengan masa. Arah, tempat dan masa adalah makhluk, maka pasti Allah tidak mengambil faedah daripada makhluk ciptaanNya. Bukankah Allah telah menjelaskan perkara ini dalam al-Quran dengan firmanNya pada surah al-'Ankabut ayat 6:

إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِين

"Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk." Yakni Allah itu sekali-kali tidak memerlukan atau tidak mengambil apa-apa faedah daripada makhluk ciptaannya. Ini adalah i'tiqad asas bagi kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, kelompok as-sawadul a'dzam daripada umat Junjungan Nabi SAW. Jika kita telaah karya-karya ulama kita, pasti kita akan berjumpa dengan kata-kata yang menunjukkan bahawa wujudnya Allah itu tidak bertempat atau dalam sesetengah kitab ulama Jawi kita tertulis "tidak mengambil bagi lapang". Maka berilah perhatian wahai segala saudara sekalian, jangan sampai aqidah kita terpesong daripada landasan yang sebenar Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Kalaupun kita tidak mahu mentakwil ayat-ayat yang mutasyabbih maka sewajarnya kita serahkan pengertiannya kepada Zat yang menurunkan al-Quran. Jangan bermain-main dengan kata-kata yang boleh menimbulkan waham yang Allah itu serupa dengan makhluk dan beranggapan bahawa itulah perlakuan para salafnya umat ini.

Pehin Mufti Haji Ismail Omar Abdul Aziz rahimahUllah dalam "Ringkasan 'Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama`ah" pada halaman 3 dengan terang menyebut bahawa antara i'tiqad kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah adalah:-

Sentiasalah Allah ta`ala itu Esa, tiada ada tempat bagiNya dan tiada ada zaman bagiNya. Yakni Allah ta`ala wujud dengan sendirinya sebelum ada tempat dan sebelum ada zaman itu. Dan Allah ta`ala suci dari tempat dan zaman itu.
Maka marilah kita mensucikan Allah daripada mengambil faedah daripada makhluk ciptaanNya. Sungguh Sang Pencipta itu terkaya daripada segala ciptaanNya.

No comments:

Post a Comment