Tuesday, December 14, 2010

Dalil-Dalil Yang Menunjukkan Harus Bertawassul

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah, tuhan sekelian alam Dia yang mencipta makhlukNya dari tiada kepada ada Dia yang tidak memerlukan kepada makhlukNya. Dia yang mencipta tempat, wujudNya tanpa memerlukan tempat, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan ahli keluarga serta sahabat baginda. Amma ba’du:

Makna tawassul ialah memohon sesuatu daripada Allah Taala dengan menyebut nama nabi atau wali (sebagai penghormatan kepada keduanya) supaya tercapai hajat atau tertolak mudarat daripada diri seseorang.
Ketahuilah bahawasanya tiada dalil yang kukuh yang menunjukkan tidak boleh bertawassul dengan para nabi dan wali sama ada pada waktu ketiadaan mereka atau selepas kewafatan mereka dengan mendakwa perbuatan ini merupakan satu ibadat kepada sesuatu selain Allah. Sesungguhnya tidak benar jika dianggap perbuatan menyeru orang yang masih hidup atau yang sudah mati sebagai suatu ibadat kepada selain Allah.

Begitu juga tidak benar sama sekali jika seseorang itu memandang syirik terhadap perbuatan memuliakan sesuatu atau meminta pertolongan kepada selain Allah atau perbuatan mengambil berkat daripada kubur para wali. Tidak boleh juga terus dihukumkan syirik terhadap perbuatan meminta sesuatu yang luar biasa, atau menyebut lafaz yang berbentuk pertolongan kepada sesuatu selain Allah, selagi si pelakunya beriktikad bahawa yang memberi manfaat dan mudarat yang sebenar hanyalah Allah Taala.

Hal ini demikian kerana melakukan perkara-perkara yang disebutkan itu tadi tidak bererti seseorang itu telah menyembah sesuatu selain daripada Allah, kerana makna ibadat di sisi ulama bahasa Arab ialah ' taat beserta tunduk kepada sesuatu dengan secara mutlak tanpa berbelah bahagi '.

Al-Azhari salah seorang ulama besar bahasa Arab telah menukilkan daripada Al-Zujaj yang juga salah seorang ulama bahasa Arab yang terkemuka di dalam kitabnya Tahzib Al-Lughat bahawa makna ibadat ialah:“ Taat beserta tunduk kepada sesuatu dengan secara mutlak ”. Makna yang sama turut dinyatakan oleh Al-Farra’ sepertimana yang disebut oleh Ibnu Manzur dalam Lisan Al-Arab.

Sebahagian ulama bahasa Arab yang lain menyatakan bahawa makna ibadat ialah: “ Tunduk dan patuh kepada sesuatu dengan penuh khusyuk ”.Ada juga yang menyatakan bahawa makna ibadat ialah merendahkan diri serendah-rendahnya sepertimana yang dapat difahami daripada kata-kata pengarang kitab Syarah Al-Qamus iaitu Murtadha Al-Zabidi. Inilah makna yang tepat bagi kalimah ibadat sama ada daripada segi bahasa mahupun ‘uruf.

Oleh yang demikian, seseorang itu tidak dikira menyembah sesuatu selain Allah semata-mata dia merendahkan dirinya kepada makhluk, Jika perbuatan merendahkan diri kepada makhluk terus dihukumkan sebagai kafir, nescaya akan dihukumkan kafir ke atas setiap orang yang merendahkan diri mereka kepada raja-raja dan para pembesar.

Sesungguhnya telah pasti (tsabit) bahawa Muaz bin Jabal apabila beliau kembali dari Syam telah bersujud kepada Rasulullah, lalu Rasulullah menyatakan:

“ Apakah yang kamu lakukan ini?. Lalu Muaz menjawab: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku melihat ahli Syam sujud kepada para pendeta mereka dan engkau sebenarnya lebih utama untuk aku berbuat demikian. Rasulullah berkata: Jangan kamu lakukan sedemikian, jika aku diperintahkan supaya setiap manusia boleh sujud kepada manusia yang lain, nescaya akan aku perintahkan perempuan supaya sujud kepada suaminya”. (Hadis riwayat Ibnu Hibban & Ibnu Majah dan juga selain mereka).

Rasulullah tidak pula menyatakan kepada Muaz: “Sesungguhnya engkau telah kafir atau engkau telah melakukan syirik ” sedangkan perbuatan sujud yang dilakukan kepada nabi merupakan salah satu tanda ketaatan yang tinggi kepada sesuatu.

Al-Thabrani di dalam Al-Mu’jam Al-Kabir dan Al-Mu’jam Al-Saghir telah mengeluarkan suatu hadis daripada Usman bin Hunaif bahawa seorang lelaki telah berulang-alik kepada Usman bin Affan tetapi Usman bin Affan tidak mengendahkan dirinya serta menunaikan hajatnya.

Maka lelaki itu telah bertemu dengan Usman bin Hunaif dan mengadu kepadanya akan hal tersebut. Lalu Usman bin Hunaif mengatakan: “Pergilah ke tempat berwuduk dan berwuduklah, kemudian hendaklah kamu sembahyang dua rakaat. Kemudian hendaklah kamu berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada engkau dan aku bertawajjuh (menghadapkan diriku) kepada-Mu dengan (kedudukan) nabi kami, Nabi Muhammad, nabi yang membawa rahmat. Wahai Muhammad, sesungguhnya aku bertawajjuh dengan engkau kepada tuhanku pada hajatku ini supaya ditunaikan bagiku. Kemudian pergilah dan aku akan pergi bersama kamu.
Maka lelaki itu pun pergi dan melakukan seperti apa yang disuruh oleh Usman bin Hunaif. Kemudian dia pun pergi kepada Usman bin Affan, disana dia disambut oleh pengawal yang membawanya masuk kepada Usman bin Affan. Usman bin Affan telah meminta lelaki itu duduk di atas hamparan yang disediakan olehnya dan bertanya kepada lelaki itu: Apakah hajat kamu?. Lelaki itupun menyatakan hajatnya kepada Usman bin Affan dan beliau pun menunaikan hajat lelaki tersebut. Usman bin Affan menyatakan: Saya tidak mengingati hajat kamu melainkan pada ketika ini. Kemudian lelaki itu keluar dari rumah Usman bin Affan dan dia telah bertemu dengan Usman bin Hunaif. Lelaki itu mengatakan: Semoga Allah membalas kebaikan kepada kamu. Beliau (Usman bin Affan) tidak memandang kepada hajatku dan juga tidak mempedulikan diriku sehinggalah engkau memberitahunya mengenaiku. Usman bin Hunaif berkata: Demi Allah, aku langsung tidak memberitahunya tetapi aku telah menyaksikan bahawa telah datang kepada Rasulullah seorang lelaki buta yang mengadu kepada baginda akan kehilangan penglihatannya. Maka baginda berkata: Jika engkau dapat bersabar, maka bersabarlah, dan jika engkau hendak, aku akan mendoakannya untuk engkau. Dia berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kehilangan penglihatanku amat menyukarkan aku kerana tiada bagi diriku orang yang memanduku. Lalu baginda berkata kepada lelaki buta itu: Pergilah ke tempat berwuduk dan berwuduklah. Kemudian hendaklah kamu bersolat dua rakaat, Selepas itu hendaklah kamu menyatakan :
Maka lelaki itu melakukan seperti apa yang diperintahkan. Demi Allah, sebelum kami berpisah dan belum pun lama majlis kami bermula, lelaki buta itu telah masuk semula kepada kami dan dia sudah boleh melihat seolah-olahnya dia tidak pernah ditimpa penyakit tersebut”. Al-Thabrani di dalam Muk’amnya berkata: Hadis ini hadis sahih.

Pada hadis ini terdapat dalil bahawa lelaki buta itu telah bertawassul dengan nabi di tempat lain (bukan di hadapan nabi) kerana Usman bin Hunaif di dalam hadis tersebut menyatakan: “Lelaki itu telah masuk semula kepada kami”. Pada hadis ini juga terdapat dalil bahawa bertawassul dengan nabi adalah harus sama ada sewaktu hayat baginda atau sesudah baginda wafat. Maka nyatalah kebatilan kata-kata Ibnu Taimiyah yang berbunyi: “Tidak boleh bertawassul melainkan dengan orang yang masih hidup dan berada di hadapan kita”. Ketahuilah bahawa setiap syarat yang tidak terdapat di dalam kitab Allah (Al-Qur’an) maka ia adalah batil sekalipun ia seratus syarat. Wallahhu a’lam.

" نحن أنصار دين الله - كفى هذا قيمة "

No comments:

Post a Comment